MERDEKA!!

MERDEKA!!

Isnin, 4 Februari 2008

PERJANJIAN LISAN TIDAK VALID!!!



PERJANJIAN LISAN TIDAK VALID!!!

OLEH:SAYUTI OMAR

Rasa tidak senang dan marah Dr Mahathir Mohamad kepada Abdullah Ahmad Badawi semakin menjadi-jadi. Satu demi satu rasa kurang senangnya (Mahathir) kepada Perdana Menteri kelima itu diluahkan. Seakan semua itu disengajakan bagi menjatuhkan imej Abdullah yang kemudian diharap Abdullah akan berundur. Apa yang Dr Mahathir harapkan calon pilihannya Najib Razak akan segera menjadi PM.

Tidak berkenan sungguh Dr Mahathir kepada Abdullah. Rasanya kesilapan politik paling besar Dr Mahathir lakukan di sepanjang sejarah dan kerjaya politiknya ialah memilih Abdullah sebagai penggantinya. Beliau kini seolah tidak mempunyai agenda lebih besar selain daripada memastikan Abdullah turun dengan cepat dan Najib naik dengan bangat.

Terbaru Dr Mahathir menimbulkan soal perjanjian lisan beliau dengan Abdullah. Kononnya Abdullah hanya akan menjadi PM sepenggal saja selepas itu Abdullah kena serahkan kepda Najib. Mengapa Dr Mahathir memilih Abdullah ketika itu ialah kerana Abdullah lebih tua daripada Najib.

Soalnya kalau beliau sudah nampak Najib lebih bijak dan pandai daripada Abdullah kenapa beliau beri lalu kepada Abdullah.

Kenapa usia dijadikan alasan. Tidak guna usia tua kalau tidak dapat melakukan kerja dan memimpin negara? Di sini perhitungan Dr Mahathir silap. Beliau patut terus endorse saja Najib menjadi PM.

Bagaimana pun menurut Abdullah perjanjian lisan itu tidak ada. No gentlemen's agreement, kata Abdullah. Najib pula tidak tahu menahu mengenai perkara itu dan meminta orang yang ingin mengetahuinya bertanya kepada pihak berkenaan (Dr Mahathir). Dan kalau pun beliau ada mendengarnya tidak manis kalau beliau mengulasnya.

Kita tidak tahu apa yang berlaku dalam selimut Umno ketika itu. Mungkin apa yang berlaku begini; Dr Mahathir bersetuju berhenti kerana tekanan ke atasnya sehingga menjejaskan parti. Mungkin beliau berkata, Abdullah akan ambil tempatnya sementara masa untuk Najib tiba. Mungkin begitu. Dan saat itu Abdullah mungkin menganggukkan kepala sahaja bersetuju dengan apa yang Dr Mahathir katakan walaupun hatinya kurang selesa dengan sikap begitu.

Bukan Abdullah saja, kalau saya pun saya akan setuju dengan apa kata Dr Mahathir pada masa itu. Usahkan untuk sepenggal kalau satu hari pun beliau akan setuju. Menjadi PM lebih baik daripada menjadi buruh kasar bina bangunan di tengah panas atau nelayan di Terengganu!

Dr Mahathir harus faham beliau tidak boleh menganggap perjanjian itu sebagai mutlak. Beliau harus bersedia untuk melihat ianya akan dimungkiri pada bila-bila masa. Sebagai seorang ahli politik yang matang dan masak beliau tidak perlu kecewa dengan apa yang berlaku. Beliau seharusnya tersenyum saja.

Ribuan perjanjian politik - baik lisan atau rasmi dibatal dan dimungkiri setiap hari. Politik itu sendiri dimaksudkan sebagai menipu, atau kegiatan-kegiatan, kerja-kerja, melibatakan pemikiran dan perbuatan fizikal untuk memperdayakan orang untuk keuntungan kita.

Dr Mahathir tidak payah pergi terlalu jauh membelek buku sejarah perjanjian politik. Beliau sendiri pernah memungkiri perjanjian seperti mana (mungkin) berlaku antara beliau dengan Abdullah itu. Bahkan apa yang Dr Mahathir lakukan lebih besar daripada dosa Abdullah itu.

Apakah Dr Mahathir telah melupai apa yang telah berlaku antara beliau dengan Tengku Razaleigh Hamzah?

Sewaktu Hussein Onn (Allahyarham) menyatakan hasratnya untuk bersara dari jawatan Perdana Menteri, Hussein Onn telah memanggil tokoh-tokoh kanan di dalam parti Umno. Mereka ialah Ghafar Baba, Tengku Razaleigh Hamzah dan Dr Mahathir Mohamad. Sebelum itu ketiga mereka ini membuat desakan kepada Hussein Onn agar jangan mengambil Ghazali Shafei sebagai penggantinya.

Apabila tiba saat Hussein Onn hendak berundur beliau panggil ketiga mereka itu untuk membuat keputusan dan pilihan antara mereka siapa yang berhak menggantinya sebagai PM. Dalam perjumpaan itu Tengku Razalegih telah mencadangkan kepada Hussein Onn agar melantik Dr Mahathir sebagai pengganti. Dan sebagai imbalan (janji) Dr Mahathir bersetuju untuk melantik atau memberi laluan kepada Tengku Razaleigh pula sebagai PM selepas beliau.

Antara dialog yang menjadi legenda ialah; selepas I you akan jadi PM Le. Begitulah kata Dr Mahathir.Tengku Razaleigh yang berkorban untuk Dr Mahathir mempercayai kata-kata itu. Beliau memanggil Razaleigh dengan Le sahaja. Umum ketika itu telah menganggap kata-kata Dr Mahathir ke atas Tengku Razaleigh itu sebagai janji. Janji lisan!

Dan memang wajar kalau Dr Mahathir memilih atau memberi laluan kepada Tengku Razaleigh selepas beliau kerana Tengku Razaleighlah yang mencadangkan namanya kepada Hussein Onn. Bukan itu saja tokoh paling senior dalam Umno selepas Ghafar ialah Tengku Razaleigh.

Tetapi akhirnya apa jadi dengan janji lisan berkenaan? Dr Mahathir bukan saja tidak memberi laluan kepaa Tengku Razaleigh tetapi telah mengambil Musa Hitam sebagai penggantinya. Dalam proses mengambil Musa Hitam ini (pemilihan Timbalan Presiden Umno), Dr Mahathir sekali lagi berlaku 'ilap' (khilaf) dengan Tengku Razaleig bila mana memberi sokongan terbuka semasa pemilihan Timbalan Presiden Umno.

Mulanya beliau tidak memihak kepada sesiapa tetapi akhirnya bila tiba waktu pemilihan beliau terang-terang menyokong Musa. Sokongan terbuka itu dianggap sebagai suatu pengkhianatan kepada Tengku Razaleigh Hamzah.

Cukuplah dua contoh kejadian itu bagi menunjukkan bagaimana martabat dan status perjanjian lisan oleh orang politik. Jadi kalau Dr Mahathir kecewa dan marah dengan perjanjian lisan antara beliau dengan Abdullah dan didengar oleh Najib itu, usahlah kecewa dan dukacita sebab beliau juga pernah berbuat perkara yang sama. Dr Mahathir kena ingat apa yang berlaku antara beliau dengan Tengku Razaleigh kira-kira 25 tahun dulu sebaik mungkin. Lepas itu barulah dia bersedia untuk membuat kesimpulan apakah tindak-tanduk Abdullah hari ini betul atau pun salah.

Kita ini, jangan jadi macam burung pekaka yang meninggalkan lubang selepas telurnya menetas dan masuk kembali apabila tiba musim mengawan, sedang selama lubang itu ditinggalkan ia sudah dikuasai sang ular senduk yang berbisa!

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Pemimpin selalu buat janji tapi sangat suka ingkari demi kuasa...sementara nak dapat ja.Tun lah punca segalanya..