MERDEKA!!

MERDEKA!!

Jumaat, 9 Januari 2009

Pengundi Bimbang 'Sejarah' Permatang Pauh Berulang

Taktik Ganas PKR Bakal Bawa Padah Pada Pas!

Kuala Terengganu — Pemuda UMNO negeri ini yakin pengundi di Parlimen Kuala Terengganu akan menolak sebarang bentuk kempen yang berunsur keganasan dan melampau sepertimana yang dipraktikkan oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) ketika pilihan raya kecil Permatang Pauh baru-baru ini.

Naib Ketua Pemudanya, YB Khazan Che Mat berkata kempen-kempen liar seperti mencaci, memaki hamun dan menganggu serta memukul petugas adalah satu budaya asing buat rakyat di negeri itu. Biarpun mengakui pilihanraya kecil khususnya di Kuala Terengganu sentiasa menjanjikan persaingan sengit namun beliau berharap amalan politik samseng seperti yang berlaku di Permatang Pauh tidak dibawa sepanjang proses pilihanraya di kawasan itu bermula 6 hingga 17 Januari depan.

“Kita akui pilihan raya kecil kali ini cukup sengit dengan kedua-dua belah pihak iaitu BN dan Pas cuba mencari sokongan pengundi untuk mencapai kemenangan di kawasan berkenaan.

“Namun apa yang kita harapkan, dalam keghairahan berkenaan, pembangkang dapat mengawal tingkah laku jentera mereka untuk memastikan proses pilihan raya kecil itu berjalan lancar dan tidak menakutkan mana-mana pihak khususnya pengundi untuk keluar mengundi”, katanya.

Beliau berkata demikian kepada laman webPemuda sebagai mengulas pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu yang semakin hampir. SPR menetapkan tarikh penamaan calon adalah 6 Januari ini dan 17 Januari adalah hari membuang undi. Khazan yang juga ADUN Batu Rakit seterusnya percaya jika Pas terikut-ikut dengan rentak agresif dan provokasi oleh PKR sepertimana yang dilakukan di Permatang Pauh, calon mereka akan menerima padah.

Katanya dakwaan berkenaan bukanlah untuk menimbilkan provokasi murahan, tetapi adalah berdasarkan kepada sejarah kempen yang berlaku di Permatang Pauh baru-baru ini.

“Cuba kita lihat di Permatang Pauh, jurugambar dipukul, bendera BN dibakar, petugas BN dicaci dan diludah serta banyak lagi tingkah laku yang cukup memaluan”, ujarnya.

Dalam pada itu beliau turut menafikan dakwaan pemimpin parti pembangkang kononnya jentera UMNO dan BN akan memprovokasi mereka menjelang pilihan raya kecil itu nanti.
“Kalau mereka sudah mula buat tuduhan kepada kita maknanya merekalah sebenarnya yang sudah merancang untuk melakukan perkara itu”, katanya.

LUPAKAN PEMILIHAN..

Fokus pada kemenangan subjek utama BN
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini mengadakan perjumpaan secara tertutup dengan seluruh jentera Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu.
Dalam perjumpaan selama hampir sejam setengah itu, Perdana Menteri mengingatkan anggota jentera supaya memastikan usaha yang berterusan bagi memastikan kemenangan calon BN, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

Menurut Abdullah, walaupun pada masa ini gerakan kempen masih belum rancak, namun beliau percaya usaha jentera BN akan ditingkatkan menjelang hari pengundian.

”Saya juga mengingatkan beberapa perkara antaranya supaya jentera kita memusatkan fokus mereka kepada soal memenangkan calon BN dan bukan dengan memikirkan tentang hal-hal lain.

”Bagi ahli UMNO, mereka tentunya tok sah (jangan) fikir tentang pemilihan parti yang akan datang pada Mac ini. Bukan lama, lupakan itu sekejap.

”(Sebaliknya) ingatkan sentiasa kepada tanggungjawab untuk bawa kemenangan kepada calon BN. Insya-Allah kita akan menang,” katanya.

Beliau bercakap pada sidang akhbar selepas pertemuan berkenaan yang diadakan di Dewan Tunku Abdul Rahman di sini. Selain Wan Ahmad Farid, hadir sama di majlis itu ialah Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Ahmad Said.

Sementara itu, Abdullah turut menggunakan kesempatan tersebut bagi menerangkan kepada jentera BN bahawa Wan Ahmad Farid adalah seorang calon yang serius untuk berkhidmat kepada rakyat. Katanya, Wan Ahmad Farid mengambil risiko untuk bertanding dengan sanggup melepaskan jawatan Timbalan Menteri dan Senator.

”Apabila namanya disebut-sebut, saya tanya Wan Ahmad Farid sanggupkah untuk semua itu, beliau dengan pantas kata bersedia.

”Saya tanya mengapa, beliau jawab hanya untuk berkhidmat kepada rakyat selaku Ahli Parlimen di kawasan ini,” katanya.

Diminta mengulas kenyataan Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa pemilihan Wan Ahmad Farid sebagai calon BN adalah pilihan yang salah, Abdullah berkata, bekas Perdana Menteri itu boleh berkata apa sahaja kerana ia tidak relevan kepada BN.

”Kita tahu apa yang kita buat, kita tahu apa kita mahu dan kita akan berjuang habis-habisan untuk memenangi pilihan raya kecil ini,” kata Abdullah.
utusan 9/1/09