MERDEKA!!

MERDEKA!!

Rabu, 5 Disember 2007


Parti kalah pilihan raya... sendiri mahu ingat
December 3, 2007 : 01.20 PM


Parti-parti politik yang kalah dalam pilhan raya umum, 'sendiri mahu ingat!'.
Kalau kalah janganlah pula hendak menyalahkan orang lain? Sebaliknya mereka perlu menerima hakikat bahawa mereka tidak diterima oleh rakyat.
Itulah antara inti pati pesanan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman. Beliau meminta parti-parti politik yang kalah jangan menuduh SPR melakukan penipuan tetapi hendaklah menerima kekalahan kerana bahawa mereka tidak dipilih rakyat.
Bagi menguatkan pendirian SPR itu, beliau berkata, Perdana Menteri sendiri tidak pernah meminta SPR bekerja untuk memastikan kemenangan Barisan Nasional. Sebaliknya Datuk Seri Abdullah sering mengingatkan SPR akan melaksanakan tugas dan tanggungjawab secara adil dan saksama.
"Daripada menuduh SPR menipu dan berlaku tidak adil, yang kalah sepatutnya insaf dengan kesilapan mereka... mungkin kempen tidak menarik, program tidak menarik dan hilang kepercayaan rakyat!"
"Saya sendiri dalam beberapa perjumpaan dengan Pak Lah (Abdullah), beliau tidak pernah sebut awak (SPR) perlu tolong dia... dia cuma minta SPR menjalankan urusan dengan adil. Parti dia (BN) tidak perlu pertolongan SPR kerana menang dengan kekuatan mereka. "
"Saya pun tidak tahu BN akan menang atau tidak nanti, parti yang kuat terus menguasai kepercayaan rakyat. Hak rakyat sebagai pengundi. Undi adalah rahsia dan rakyat tidak perlu takut, jangan tuduh SPR jika kalah, perlu tanya diri sendiri kerana memang tidak wujud unsur penipuan. Tugas SPR ialah mengesahkan penubuhan kerajaan yang menang tidak kira daripada parti mana-mana pun," katanya.
Beliau memberitahu pemberita demikian selepas mempengerusikan taklimat jentera pilihan raya di Kelantan hari Ahad. Abdul Rashid mengulas mengenai dakwaan bahawa SPR terbabit dalam penipuan bagi membantu parti tertentu memenangi pilihan raya ke-12 nanti.
Beliau sekali lagi dengan tegas menyatakan SPR tiada kaitan dengan mana-mana parti politik di negara ini.
"Petugas SPR yang berkhidmat pada pilihan raya nanti juga bebas mengundi mana-mana parti yang bertanding. Orang yang bercakap SPR sebagai alat parti tertentu sebenarnya sudah tiada modal."
"Janganlah fikir kerana mereka orang politik, mereka boleh tipu orang kampung dengan dakwaan mengatakan SPR melakukan penipuan dalam pilihan raya...tak payah pakai emosi, gunalah otak," katanya. Katanya, jika mana-mana parti kalah dalam pilihan raya, mereka perlu nilai kemampuan mereka dan kepercayaan rakyat bukannya kerana kononnya SPR menipu. - 2/12/2007
copyright- AgendaDaily.net

Tiada ulasan: