MERDEKA!!

MERDEKA!!

Rabu, 5 Disember 2007

DEMAM DEMONSTRASI – Bersih dan Majilis Peguam Berhimpun lagi..

Oleh: Paisehkde@yahoo.com


Benarlah seperti apa yang telah di nyatakan sebelum ini bahawa Malaysia kini dilanda ‘demam perhimpunan’. Kebelakangan ini, kita disajikan dengan isu-isu perhimpunan yang penuh dengan ‘thriller’ dan babak sadis yang memilukan.

Bermula dari kekecohan di Batu Buruk yang membawa kepada kerugian harta benda dan keruntuhan akhlak, negara di gemparkan pula dengan perhimpunan aman di Putrajaya oleh Majlis Peguam. Di saat rakyat leka dengan isu skandal VK Lingam, perhatian beralih kepada perhimpunan menuntut pilihanraya adil yang ditaja BERSIH.

Selang beberapa hari siri keganasan demonstrasi Bersih, keganasan yang lebih dahsyat pula menyusul apabila sebuah pertubuhan yang dinamakan HINDRAF secara membabi-buta merusuh di hadapan Kedutaan British di jalan Ampang bagi tuntutan hak asasi kaum India yang kononnya dipinggirkan.

Akibat rusuhan Hindraf itu, ramai yang telah ditahan dan disoal siasat oleh polis dan terbukti motif utama perhimpunan Hindraf berbaur isu perkauman.Hindraf sebenarnya berselindung disebalik tujuan perhimpunan yang kononnya menuntut hak asasi kaum India.

Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga, tembelang Hindraf terbongkar melalui memorandum yang ditujukan kepada Queen Elizabeth yang mengandungi fitnah terlampau mengenai kerajaan dan orang melayu.

Sepanjang tempoh beberapa bulan ini, rakyat dihidangkan dengan pelbagai siri rusuhan dan demonstrasi jalanan yang kian membuatkan warga kota khususnya, takut dan tidak aman lagi di negara merdeka ini akibat perlakuan melampau pihak yang tidak bertanggungjawab khususnya parti-parti pembangkang.

Sedang hangatnya isu Hindraf dibicarakan, Majlis Peguam sekali lagi menunjukkan belang mereka untuk mengadakan perhimpunan pada 9 Disember ini. Ternyata Majlis Peguam turut sama tergedik-gedik untuk berdemonstrasi dalam mengatur pakatan pemberontakan.

Alasan mereka mengadakan demonstrasi jalanan ini kononnya bersempena hari hak asasi manusia dengan tema ‘Perhimpunan Rakyat Berjalan Kaki’ ternyata meragukan.Perarakan itu nanti dipercayai bermula jam 7.30 pagi dari Kompleks SOGO yang kemudiannya berarak menuju ke Pasar Seni. Justeru, sebulat suara kita perlu menolak anjuran tersebut.

Bagai tarikan magnet pula budaya berarak di tengah jalan ini. Dalam diam-diam, sekali lagi BERSIH akan mengadakan perhimpunan rakyat pada 11 Disember ini. Menurut sumber, perhimpunan itu adalah bertujuan untuk membantah hasrat kerajaan dalam melanjutkan perkhidmatan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rasyid Rahman yang sepatutnya tamat 31 Disember ini.

Menurut sumber Bersih, perhimpunan bantahan itu akan bermula jam 10.00 pagi di perkarangan bangunan Parlimen.

Apa yang jelas, kesemua siri-siri perhimpunan ini melanggari undang-undang negara yang berdaulat ini kerana hampir keseluruh episod demonstrasi jalanan itu tidak mendapat permit dan kelulusan oleh pihak berkuasa tempatan.

Sehingga artikel ini ditulis, penulis difahamkan oleh pihak polis yang dihubungi, setakat ini pihak polis belum menerima apa-apa permohonan untuk mendapatkan permit bagi mana-mana penganjur perhimpunan.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Ismail Omar berkata, jika ada permohonan, pihak polis akan menelitinya dari pelbagai aspek termasuk kemungkinan ia boleh mencetuskan kekecohan dan menjejaskan ketenteraman awam sebelum membuat keputusan.Sebarang perhimpunan yang hendak diadakan mestilah mematuhi kesemua syarat-syarat yang ditetapkan oleh polis.Tindakan itu perlu bagi menjamin keselamatan dan ketenteraman awam terus terpelihara.

Hakikat yang ada ketika ini, segala bentuk perhimpunan yang diadakan jelas bermotifkan politik. Sementelah negara diambang pilihanraya, resam pembangkang untuk menghujani kerajaan dengan berbagai agenda demi menjatuhkan kewibawaan rakyat terhadap kerajaan BN/UMNO.



Bar Council Kini Berpolitik
Kali Pertama Berhimpun di Putrajaya

Tiada ulasan: