MERDEKA!!

MERDEKA!!

Rabu, 5 Disember 2007



Majlis Peguam Burukkan Negara

Oleh: ANAKomak

Perhimpunan…perarakan…mungkin telah menjadi satu kebiasaan bagi pihak yang sudah naik ‘syok’ atau sudah ‘naik gila’ dengan menjadikan setiap hujung minggu acara tetap bagi mengadakan perhimpunan atau demonstrasi jalanan.

Bermula dengan BERSIH menganjurkan perhimpunan pada 10 November lalu diikuti oleh Hindu Rights Action Force (Hindraf) pada 25 November, kini giliran Majlis Peguam pula merancang untuk berhimpun pada 9 Disember 2007. Alasan perhimpunan tersebut hendak diadakan ialah ia bersempena dengan sambutan hari hak asasi manusia dan tema perhimpunan pula ialah “Perhimpunan Rakyat Berjalan Kaki”.

Biar apapun alasannya, kita perlu mengambil kira aspek baik dan buruknya sesuatu perhimpunan itu. Jika rancangan Majlis Peguam ini diteruskan, ia adalah program perhimpunan kedua majlis berkenaan.

Kali pertama ialah “Berjalan Untuk Keadilan” dilakukan oleh Majlis Peguam di Putrajaya selepas pendedahan kes rakaman VK Linggam yang mencetuskan kontroversi pengaturan perlantikan hakim.

Bagaimanapun hasrat Majilis Peguam itu melahirkan keraguannya terhadap niat sebenar mereka menganjur perhimpunan itu yang jelas berselindung atas nama hak asasi manusia. Relevannya, sebarang bentuk perhimpunan jalanan tidak harus diadakan buat masa sekarang kerana ia akan hanya menimbulkan perasaan kurang senang di kalangan masyarakat serta boleh menjejaskan perpaduan kaum di negara ini. Oleh yang demikian, sebarang bentuk perhimpunan jalanan, walau apapun alasan yang diberikan tidak harus dibenarkan buat masa sekarang demi keamanan dan keselamatan orang awam yang mana ketika ini negara di hujani isu perkauman oleh pihak Hindraf.

Sebagai rakyat yang cintakan keamanan, kita perlu memboikot segala bentuk perhimpunan buat masa ini kerana ia akan memburukkan lagi keadaan dan menjejaskan nama baik negara pada kacamata masyarakat antarabangsa.

Sebelum ini Majlis Peguam menengaskan, pihaknya akan menganjurkan perhimpunan berkenaan dan mempelawa semua rakyat Malaysia untuk bersama-sama menyertai perhimpunan berkenaan termasuk BERSIH dan parti-parti politik. Presidennya, Ambiga Sreenivasagam dalam menguatkan hujahnya untuk menganjurkan perhimpunan itu berkata, pihaknya menganjurkan perhimpunan itu bagi memperingati hari hak asasi manusia dan akan memastikan perhimpunan itu hanya akan memberikan ‘sedikit’ sahaja gangguan kepada orang awam.

Sebelum ini, dua demonstrasi jalanan bulan lepas iaitu oleh sekumpulan pertubuhan bukan kerajaan yang menggelar diri mereka "BERSIH" serta Hindu Rights Action Force (Hindraf) hanya membawa kepada keburukan serta kemarahan rakyat.

Justeru, kita menolak sebarang anjuran perhimpunan kerana kesannya nanti lebih kepada keganasan, kehancuran dan kekecohan. Andainya Majlis Peguam meneruskan juga hasrat mereka, ternyata mereka lebih bersifat pentingkan diri dan tidak mengambil berat soal perpaduan kaum di negara ini.
Sumber: AgendaDaily

Tiada ulasan: