MERDEKA!!

MERDEKA!!

Selasa, 27 November 2007

Penubuhan suruhanjaya hari ini (RABU)


Isu VK Lingam: Penubuhan Suruhanjaya Hari Ini?


Setelah kita lihat segala perjalanan isu hangat ini umpama sebuah drama bersiri, kini isu klip video melibatkan VK Lingam dan bekas Ketua Hakim Negara kembali bersambung episod seterusnya.

Hari ini, seperti yang dijanjikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dimana mesyuarat kabinet pada hari ini bakal menentukan siapakah ahli yang akan menyelesaikan kesahihan klip video tersebut setelah kegagalan tiga panel dilantik yang cukup tempohnya.

Datuk Seri Abdullah Ahmad Bahawi berkata, mesyuarat Kabinet hari ini akan membincangkan sekali lagi penubuhan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat rakaman klip video perbualan telefon seorang peguam terkemuka dengan seorang hakim kanan untuk mengatur pelantikan hakim di negara ini.

Mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan Timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Rabu lalu, membuat keputusan untuk membincangkan perkara itu sekembalinya Abdullah dari luar negara.

Dalam mesyuarat itu nanti, Jemaah Menteri akan menentukan senarai ahli yang menganggotai Suruhanjaya Diraja berkenaan dan terma-terma rujukan.

Baru-baru ini, Perdana Menteri mengumumkan penubuhan Suruhanjaya Diraja berdasarkan laporan panel khas bebas yang menyiasat kesahihan klip video tersebut.

Panel khas bebas yang ditubuhkan pada 25 September lalu, dianggotai oleh bekas Hakim Besar Malaya, Tan Sri Haidar Mohd. Noor, aktivis masyarakat, Tan Sri Lee Lam Thye dan bekas hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mahadev Shankar.

Mereka diberi tempoh kira-kira sebulan untuk menyiasat klip video itu dan telah mengemukakan cadangan kepada kerajaan, baru-baru ini.

Tiga menteri pula iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz; Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad turut dilantik oleh Kabinet untuk meneliti laporan panel khas itu.

Semoga dengan penubuhan suruhanjaya itu nanti dapat menghasilkan kebenaran pada klip video terbabit dan sekaligus menjawab segala persoalan yang menyelubungi semua rakyat khususnya pembangkang.

Demi mendaulatkan undang-undang, kerajaan bersedia menubuhkan suruhanjaya tersebut setelah mengkaji dan meneliti aspek logikal penubuhannya. Ini termasuklah dalam usaha kerajaan mencari keadilan dalam menegakkan undang-undang negara tanpa mengira status pesalah.

Tiada ulasan: