MERDEKA!!

MERDEKA!!

Selasa, 23 Oktober 2007

CERITA DI SEBALIK CERITA...PEMBANGKANG JUGA YANG HURU-HARA

Cerita di sebalik cerita, Pembangkang juga yang huru-hara.
Oleh: ANAKomak



Bermula ketika Ramadhan sehinggalah terbitnya Syawal, isu hangat mengenai skandal klip video perbualan peguam kanan VK.Lingam dengan Tun Ahmad Fairuz masih lagi diperkatakan dan sememangnya isu ini di pandang serius oleh semua pihak.

Apabila isu ini dibangkitkan oleh mantan Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim maka semua pihak mula mendongak kepala berfikir apakah isu ini benar atau sebaliknya.

Secara mudah kita terfikir pepatah melayu “ berani kerana benar, takut kerana salah”.
Dalam soal ini suka dan terujanya penulis untuk bertanya kembali kepada si ‘pendakwa’ apakah isu yang di timbulkan ini benar?

Pun begitu, bila kita renungkan balik peribahasa ini dengan perkembangan semasa khususnya yang melibatkan orang yang mendakwa kononnya merakamkan klip video perbualan telefon antara seorang peguam kanan dengan Ketua Hakim Negara yang mana kita tidak nampak individu terbabit dan juga para pemimpin pembangkang khususnya Anwar Ibrahim memanifestasikan dan mengamalkan maksud peribahasa tersebut. Anwar selalu mengungkapkan tentang kekhuatiran dan kebimbangan terhadap keselamatan saksi penting yang bertanggungjawab merakamkan klip video yang kononnya mendedahkan skandal tertinggi kehakiman negara.

Kita ingin tanya Anwar, apa yang ditakutkan sangat jika orang itu betul-betul di pihak yang benar. ‘Berani kerana benar, takut kerana salah’, jika benar kenalah berani, adakah dia takut kerana dia tahu dia di pihak yang salah?

Sehingga ke hari ini perkara itu tidak selesai bahkan akan lebih sukar untuk selesai jika si pendakwa takut-takut untuk mengenengahkan saksi.Janganlah pula sibuk hendak mewujudkan Suruhanjaya kalau saksi yang ada di sorokkan? Kalaulah di wujudkan satu Suruhanjaya, pun belum tentu dapat diselesaikan kalau masih hendak main nyorok-nyorok.

Apa jua keadaan yang timbul semasa siasatan dijalankan, tidak seharusnya kita melatah dengan mengganggu penyiasatan kerana panel telah dilantik dan mereka yang menyiasat mempunyai agenda dan strategi tersendiri.Penyiasatan sedang dilakukan dan terkini BPR mendakwa berlakunya suntingan pada pita rakaman tersebut.

Kenyataan Badan Pencegah Rasuah (BPR) mendakwa klip video yang memaparkan perbualan telefon seorang peguam dengan seseorang yang dikatakan hakim kanan mengenai urusan pelantikan hakim dalam negara kini tidak boleh dijadikan bahan bukti kes kerana ia telah disunting sedangkan yang ditayangkan merupakan sebahagian awal klip tersebut.

Setelah keluarnya dakwaan BPR, si pendakwa (pembangkang) mula angin satu badan.
Timbalan Presiden KeADILan Dr Syed Husin Ali dengan lantang berkata video berkenaan tidak pernah disunting sama sekali dan yang dipaparkan selama ini merupakan 8 minit awal daripada keseluruhan klip tersebut. Menurutnya, bakinya akan dipaparkan setelah Suruhanjaya DiRaja ditubuhkan bagi menggantikan panel bebas yang sudah hilang wibawa dan tidak dapat menjamin keselamatan dan perlindungan saksi dalam kes ini.

Tambahnya lagi, perkara ini penting kerana bahagian akhirnya akan menunjukkan beberapa orang yang hadir sewaktu perbualan itu dirakamkan dan akan mendedahkan saksi-saksi tertentu dalam kes ini.

Hah, ini yang menarik! Kalau benar ada bukti dan saksi, segera-segerakanlah.Mengapa pula hendak menunggu Suruhanjaya Diraja ditubuhkan? Takkan nak tunggu berulat baru nak kapan?

Maka, Anwar dan saksi itu mestilah ingat, tak guna menyembunyikan identiti sebagai saksi penting klip video itu kerana lambat laun orang akan tahu juga. Buat apa nak rahsia-rahsia? Berani dedah beranilah tanggung! Itulah perjuangan macam Anwar sendiri kata "Jika takut dengan risiko jangan bicara soal perjuangan!"

Belum pun selesai siasatan, pembangkang sudah mula panas ‘bontot’. Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang dah mula meminta Ketua Hakim letak jawatan. Sementara si pandakwa pula tetap nak sorok saksi bawah ketiaknya selagi Suruhanjaya Diraja tidak ditubuhkan dan si kroni-kroni pula saling menyangkal bahawa pita rakaman itu tidak pernah di sunting.

Macam-macam hal, macam-macam bicara.Masing-masing mahu mengusutkan lagi apa yang sudah menjadi kalut.Cuma sekarang ini kita perasan PAS yang kurang nak ambil tahu atau nak cakap-cakap tentang isu klip video ini, yang sedang mereka sibukkan adalah tentang pilihanraya, kempen sana-sini. Aduhai politik..

Tiada ulasan: