MERDEKA!!

MERDEKA!!

Selasa, 13 Mei 2008

Bagaimana 'tsunami' berlaku? (Bahagian Satu)

Bagaimana 'tsunami' berlaku? (Bahagian Satu)

oleh: Amin Iskandar

Keputusan pilihanraya umum ke-12 memeranjatkan semua pihak. Baik dari parti pemerintah mahupun parti pembangkang. Barisan Nasional (BN) menang dengan majoriti mudah tetapi hilang penguasaan dua pertiga di parlimen.

Selain itu BN gagal untuk mempertahankan kekuasaan di beberapa buah negeri seperti Selangor, Perak Kedah dan Pulai Pinang sementara Kelantan gagal ditawan dan kekal di bawah pemerintahan PAS. Semua kerusi parlimen di Kuala Lumpur dirampas oleh pakatan pembangkang kecuali Setiawangsa berjaya dipertahankan oleh Zulhasnan Rafique.

Selatan tanahair yang menjadi kubu kuat BN juga “dirobek” sedikit demi sedikit sehinggakan BN Negeri Sembilan hilang majoriti dua pertiga.

Di Melaka, DAP berjaya menawan lima kerusi DUN dan satu kerusi parlimen. Johor yang merupakan negeri kelahiran Umno juga tidak ketinggalan menjadi mangsa apabila DAP mendapat empat kerusi DUN dan satu kerusi parlimen sementara PAS pula mendapat dua kerusi DUN.

Peralihan undi yang besar kepada pakatan pembangkang tanpa dijangka itu, menyebabkan ramai penganalisa politik menggelarkannya sebagai situasi ini sebagai Tsunami.
Buat pertama kalinya Barisan Nasional (BN) yang ditubuhkan pada 1973 hilang kuasa dua pertiga di parlimen dan mengulangi sejarah Perikatan pada pilihanraya 1969.

Pakatan BN yang ditubuhkan sebagai formula baru untuk mengatasi kegagalan Perikatan pada pilihanraya 1969 akhirnya tempang selepas 38 tahun berdiri gagah.
Prestasi BN pada pilihanraya umum 2008 lebih teruk daripada Perikatan pada pilihanraya tahun 1969 oleh kerana kehilangan lima negeri kepada pakatan pembangkang.

Abdullah Ahmad Badawi telah berjaya mencipta sejarah apabila menjadi ketua BN pertama yang menyebabkan kehilangan majoriti dua pertiga.
Keputusan pilihanraya umum 2008 juga menyaksikan beberapa menteri dan timbalan menteri mengalami kekalahan yang mengejut.

Shahrizat Jalil tewas ditangan Nurul Izzah yang kali pertama bertanding dalam pilihanraya umum. Samy Vellu yang menjadi Ahli Parlimen Sungai Siput semenjak tahun 1974 terpaksa akur dengan Dr Jeyakumar.

Manakala Zainuddin Maidin yang menjadi Menteri Penerangan sebelum ini dimalukan oleh Johari Abdul di Sungai Petani. Di Shah Alam, Aziz Shamsuddin terpaksa akur dengan kemenangan Khalid Samad.

Mengapakah ini terjadi?

BN yang menang besar dalam pilihanraya umum 2004 menjadi begitu kuat sehinggakan tiada kuasa pengimbang dalam menentukan hala tuju negara. Dalam bahasa yang mudah, BN boleh membuat apa sahaja dengan kuasa dua pertiga mereka di parlimen.

Selepas pilihanraya 2004 sehingga 8 Mac 2008 rakyat dibebani dengan kenaikan kos hidup yang mendadak. Kenaikan harga minyak, tol, pengangkutan awam dan barang keperluan harian telah menyebabkan ramai yang hidup menderita.

Tambahan lagi apabila wujudnya “watak-watak jahat” seperti Samy Vellu yang bersungguh-sungguh mempertahankan kenaikan harga tol telah menyebabkan rakyat mula menyesal kerana memberikan mandat begitu besar kepada BN dalam pilihanraya umum 2004.
Pakatan pembangkang yang sedar akan kegelisahan rakyat, bijak untuk memanfaatkan suasana tersebut.

Kempen untuk mengurangkan majoriti BN di parlimen agar mereka tidak boleh membuat keputusan dengan sesuka hati, telah berjaya membuahkan hasil. Lim Guan Eng apabila ditanya oleh wartawan sewaktu kempen pilihanraya berlangsung, mengatakan DAP tidak mungkin mengalahkan BN dan hanya berniat untuk mengurangkan majoriti BN di parlimen.

Husam Musa yang juga naib presiden PAS, berkali-kali dalam siri ceramah dan kempen pilihanrayanya, menyatakan kepada pengundi agar kuasa majoriti BN di parlimen harus dikurangkan agar harga barang tidak boleh dinaikkan dengan sesuka hati.

Di kalangan orang ramai terutamanya pengundi atas pagar, untuk menukar kerajaan baru secara drastik adalah sesuatu perkara yang menakutkan. Akan tetapi, kalau sekadar untuk mengurangkan majoriti BN di parlimen, mereka bersedia melakukannya.

Peningkatan kos kehidupan adalah pendorong utama bagi kumpulan pengundi ini. Mereka ini percaya jika majoriti BN di parlimen dikurangkan, harga barang tidak mudah untuk dinaikkan dengan sesuka hati.

Oleh kerana terlalu ramai yang berfikir untuk mengurangkan majoriti BN di parlimen, maka BN akhirnya benar-benar kehilangan majoriti di parlimen bersama dengan kuasa dua pertiganya.
Saya menemui beberapa orang teman-teman yang berada dalam kelompok ini selepas dua hari keputusan pilihanraya diumumkan. Mereka sebenarnya tidak menyangka bahawa BN akan kalah seteruk ini apabila memenangi hanya 140 kerusi parlimen berbanding dengan pembangkang yang berjaya mendapat 82 kerusi di parlimen.

Protes orang Umno

Pertembungan di antara Pak Lah dan Dr Mahathir Mohamad adalah perkara yang sudah diketahui umum. Semenjak projek “jambatan bengkok” dibatalkan, Mahathir tidak henti-henti menyerang perdana menteri yang beliau lantik menggantikannya pada tahun 2003.

Mahathir memberitahu umum bahawa beliau menyesal kerana melantik Abdullah sebagai penggantinya. Malah bekas perdana menteri itu pernah memohon maaf kepada rakyat di atas kesilapannya melantik Abdullah yang dikatakan membawa Malaysia ke arah kehancuran.
Peranan menantu Pak Lah dalam pentadbiran negara adalah salah satu kebencian Mahathir. Mahathir mengatakan bahawa “budak tingkat empat” (merujuk kepada Khairy Jamaluddin dan rakan-rakannya) menguasai Abdullah.

Beberapa hari sebelum pilihanraya, apabila ditanya oleh wartawan tentang kemungkinan Khairy akan memainkan peranan penting dalam pentadbiran negara selepas pilihanraya umum, Mahathir berkata Malaysia akan menuju kemusnahan.

Mahathir sedar bahawa Abdullah dan menantunya akan dapat disingkirkan jika BN mengalami prestasi yang buruk dalam pilihanraya umum. Maka Mahathir pun menyeru ahli-ahli Umno agar membersihkan Umno melalui pilihanraya umum. Mereka disaran agar mengundi berasaskan kepada kredibiliti calon dan bukannya atas dasar parti. Dalam erti kata lain, ahli Umno diberitahu agar jangan mengundi orang-orang Pak Lah.

Kempen ini boleh dikatakan berjaya. Ahli-ahli Umno yang benci akan Pak Lah dan menantunya telah memberi undi protes, mengikut saranan bekas perdana menteri itu.
Rembau tempat menantu PM bertanding, boleh dijadikan contoh yang baik.

Dalam pilihanraya umum 2004, calon BN, Firdaus Muhammad Rom Harun telah menewaskan Dr Dzulkifly Ahmad dengan majoriti yang besar sebanyak 18,656 undi. Manakala menantu PM menang di Rembau baru-baru ini hanya dengan majoriti 5,746 undi.

Khairy tidak mungkin mendapat undi serendah itu jika orang Umno Rembau tidak protes terhadap beliau. DUN Paroi yang terletak di bawah parlimen Rembau jatuh buat pertama kalinya kepada PAS apabila calonnya Mohd Taufek Abdul Ghani berjaya mengalahkan Datuk Zaharuddin Mohd Shariff dengan majoriti 1,071 undi.

Menantu PM yang dikatakan hebat sebelum ini sebenarnya tidaklah sehebat mana. Kempen Dr. Mahathir untuk membersihkan Umno hampir menyebabkan menantu PM turut dibersihkan. Ternyata orang Umno turut menyumbang kepada kehilangan kuasa dua pertiga BN di parlimen dan menyebabkan beberapa buah negeri tumbang kepada pakatan pembangkang.

Bahagian kedua: Faktor Anwar Ibrahim dan peranan gerilla siber.(nantikan sinambungannya)

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Amanat Presiden UMNO Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika berucap di majlis memperingati tarikh kelahiran UMNO yang ke 62 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) semalam, sekali lagi ahli UMNO diberikan nasihat supaya tingkatkanlah intrigiti, jangan lupa diri, jangan lupa daratan dan bersyukurlah dengan nikmat yang ada hari ini.

Maksud lebih jauh dari itu, orang UMNO janganlah jadi kacang lupakan kulit, jangan berlagak, jangan sombong, jangan cakap besar, jangan mendabik dada kalau sudah berjawatan dalam parti mahupun dalam kerajaan. Jangan tak jenguk di bawah lagi dan jangan leka dengan kesenangan hingga tidak pedulikan masih ramai lagi orang Melayu yang memerlukan pembelaan, perhatian dan pertolongan dalam menjalani hidup yang semakin payah akibat pelbagai bentuk tekanan yang datang dari segala penjuru.

Datuk Seri Abdullah yang terus selesa dengan nama timang-timangan rakyat dengan hanya panggilan nama Pak Lah (satu panggilan perwatakan orang kampung) membuat peringatan itu bukan kali pertama. Sudah berpuluh-puluh kali dalam ucapannya dalam mana-mana majlis atau foum UMNO.

Walaupun tuan punya diri tidak sedar telah lupa diri, lupa daratan dan ramai yang seperti kacang lupakan kulit yang banyak berlaku hari ini, ditambah dengan tidak menunjukkan rasa bersyukur dengan nikmat yang mereka perolehi dari hasil perjuangan UMNO selama 62 tahun sebelum ini memang dikesali ramai.

Beliau yang turut menyentuh ahli UMNO yang melakukan kesalahan hingga diheret ke balai polis, ke mahkamah menambahkan lagi sakit pada UMNO yang menjadi harapan orang Melayu tidak kiralah apa pun fahaman dan idiologi mereka dalam politik. Ia menghampakan ramai orang dan hingga ada yang secara terang-terangan menyatakan jijiknya mendengar nama UMNO sedangkan mereka memegang tikit UMNO sekalipun. Perkara ini amat menyedihkan.

Lebih-lebih lagi sekarang ini, dunia kita sudah canggih. Tidak sampai 5 minit sesuatu perkara buruk berlaku di mana ceruk sekali pun, terutama tentang perlakuan orang-orang berjawatan dalam parti, sudah gah satu negara. Dengan pantas seperti kilat, berita buruk itu tersebar dengan kecanggihan dunia IT sekarang ini. Kemudian ditokok tambah dan dilebarkan dalam internet ke seluruh dunia membaca kisah yang mengaibkan nama parti, Melayu dan negara amnya.

Sangat beruntunglah generasi yang lahir kemudian daripada zaman UMNO mahu ditubuhkan dulu yang sudah tersedia dengan segala kemudahan yang terus meningkat hingga orang bandar sendiri masih ada yang sesat dalam tempat letak kereta, dalam bangunan dan di jalan raya yang begitu sophisikated sekali. Begitulah lebih kurangnya gambaran kemodenan yang kita capai sekarang ini.

Sesungguhnya kalau kita benar-benar tahu betapa ibu bapa, nenek moyang kita menjalani hidup sebelum merdeka dulu, yang pada ketika ini ramai yang masih hidup dan sedia menceritakan penderitaan mereka di zaman kita bertuankan Jepun dan bertuankan British dulu, orang Melayu tidak ubah seperti hamba abdi di tanah air sendiri. Ketika itu orang Melayu miskin papa. Malah ramai yang lari meninggalkan negara pergi merantau ke negara lain untuk menyambung hidup. Atau mereka tidak sanggup melihat keluarga mereka makan ubi rebus, berlaukan pujuk ubi celur air panas bergaram semata-mata.

Sekarang, pendatang yang mencari rezeki di negara kita pun enggan pulang ke negeri asal mereka kerana nikmatnya pembangunan negara kita yang mempunyai segala kemudahan yang tidak terdapat di negara mereka terutama yang datang dari kawasan pendalaman dari Indonesia, Thailand, Mynmar, Philipine, India, Kemboja dan sebagainya. Malah ramai yang kelihatan lebih bersyukur dari kita di Malaysia.

Tanpa Nama berkata...

Apa sebenarnya yang UMNO tidak lakukan untuk orang Melayu. Atas nama Melayu, UMNO sejak merdeka telah mengorbankan kos yang cukup mahal untuk memenuhi kehendak orang Melayu. Asalkan nama mereka Melayu, walaupun rumah yang jaraknya jauh-jauh antara satu, kerajaan berteraskan UMNO tetap menyampaikan bekalan air paip, letrik dan jalan raya. Setidak-tidaknya, jalan tambak merah pun, tetap ditambak. Pada waktu itu, jalan tambah batu merah pun orang kampung sudah menadah tangan bersyukur.

Tetapi hari ini, usah kata tambak tar, berkenderaan mewah pun masih ada yang sanggup melafazkan mereka cari makan tidak bergantung pada kerajaan dan tidak mendapat bantuan UMNO untuk hidup. Padahal, persekolahan anak mereka, kemudahan hospital, jalan raya yang disediakan dan banyak lagi itu bukan usaha kerajaan bertuankan UMNO yang sediakan? Itulah jenis yang dikatakan kacang lupakan kulit, tak sedar diri dan lupa daratan.

Inilah satu cabaran besar kepada UMNO tertama dari sayap Pemuda dan Puteri UMNO yang terpaksa menghadapi generasi muda yang tidak bersama parti atau mudah terpandang ke arah negatif sahaja terhadap UMNO yang mengetuai Barisan Nasional menjadikan mereka bijak pandai, bertempat selesa dan nilai-nilai murni bangsa tidak menjadi asas dalam jiwa, hati, fikiran naluri mereka.

Sedikit silap orang UMNO, UMNO terus dianggap tak guna. Betul-betul seperti kata orang tua-tua dulu, kerana nyamuk seekor dua, habis kelambu hendak dibakarnya. Inilah sikap orang Melayu hari ini yang tidak dapat menghayati perjuangan dan apa yang telah UMNO lakukan untuk orang Melayu selama ini.

Adalah malang bagi mereka yang muda-muda hari ini tidak berkesempatan untuk berbual dengan orang tua-tua UMNO yang sudah berada dalam UMNO dari dulu hingga sekarang dan tidak berganjak ke parti lain semata-mata kerana mereka sahaja yang tahu bahawa pengorbanan UMNO memang total semata-mata diwujudkan untuk orang Melayu. Hanya UMNO untuk orang Melayu tetapi orang Melayu moden ramai yang tidak menjadikan UMNO untuk mereka.

Mereka sanggup meninggalkan UMNO untuk mengejar kedudukan, mengejar janji manis parti lain yang belum tentu boleh memberikan tempat selesa untuk mereka sedangkan semata-mata kerana nawaitu untuk berpati bukan lagi untuk bangsa, agama dan tanah air. Kerana itulah ramai yang tanpa disedari menjadi hamba kebendaan dan keseronokan hingga sanggup mengadai harga diri kepada bangsa asing untuk mencapai maksud haloba masing-masing.

Pak Lah dalam nada memahami perubahan ketara dalam diri orang Melayu di hari UMNO berusia 62 tahun semalam telah menyeru pemimpin UMNO di semua peringkat supaya cari orang Melayu dan bukan lagi menunggu mereka mencari pemimpin. Maksudnya pemimpin mesti turun padang, masuk kampung, redah kawasan-kawasan pendalaman menyelesai keperluan dan masalah mereka.

Anak-anak muda yang bertaraf professional, pengusaha kecil, sederhana dan besar, cerdik pandai dan eksekutif perlu ditarik menyertai UMNO dan berjuang untuk bangsa Melayu yang masih ramai memerlukan bimbingan dan tunjuk ajar. Orang-orang lama perlu sampaikan kepada generasi muda betapa UMNO sudah membawa taraf orang Melayu hari ini ke satu tahap cemerlang untuk dinobatkan terus menjadi satu bangsa yang terus hebat hingga ke akhir zaman dalam erti kata bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.

Dalam titipan sejarah UMNO, ia sudah tiga kali berpecah sepertimana Pak Lah ulangi dalam ucapannya. Tetapi perpecahan itu tetap dapat diselamatkan kerana Pak Lah dan ramai lagi pemimpin Melayu tahu bahawa Melayu masih sayang pada parti mereka UMNO.

Menjaga UMNO selama enam dekat dengan barisan daripada Dato' Onn Jaafar hingga ke hari ini, dan masih kekal mengetuai pemerintahan atas nama Melayu tidak boleh disamakan sepertimana orang kata macam-macam mengenainya seperti sudah putus haidlah, sudah lapuklah, sudah tidak relevanlah, tidak boleh dibuat perbandingan demikian. Kualiti dan intigreti anggotanya yang perlu diukur kerana sifat orang Melayu sendiri yang melunturkan keutuhan UMNO.

Kalau berkuburlah UMNO suatu hari nanti dan digantikan dengan parti lain, begitulah juga jadinya selagi orang Melayu sendiri tidak hindarkan sifat kunonya tidak tahu hormat ketua, suka tikam belakang, mengumpat tidak tentu butir kesahihannya, mengada-adakan dan membesar-besarkan cerita dan dengki khianat, lupa daratan dan menjadi kacang lupakan kulit.

Yang pentingnya bukan parti yang kita punyai, tetapi mengilap dan menjaga nama baik parti adalah lebih penting. Kalau ini dapat diamalkan dan diberikan renungan sedalam-dalamnya, orang Melayu akan pasti jadi satu bangsa yang kekal berkuasa, mewah, tinggi darjatnya di mata dunia sehingga akhir zaman. Barulah kita boleh kata Melayu tidak akan hilang di dunia. Bukan keris yang mengekalkan kita, tetapi perpaduan kita dalam satu rumpun berhimpun dalam satu semangat yang kental mempertahankan maruah bangsa dan agama.