MERDEKA!!

MERDEKA!!

Ahad, 30 September 2007

KES NURIN


















Kes Nurin: Empat lelaki ditahan reman seminggu...
seorang wanita Indon dipercayai ' tukang jaga' Nurin ditahan

September 30, 2007 :
05.12 PM--->

Wanita Indonesia berusia 23 tahun yang ditahan untuk siasatan kes Nurin Jazlin diiringi anggota polis ketika dibawa ke mahkamah di Petaling Jaya. Seorang wanita Indonesia yang dipercayai telah 'menjaga' Nurin Jazlin sepanjang masa dia hilang sejak 20 Ogos ditahan polis.
Wanita itu ditahan di Nilai, Negeri Sembilan jam 12.30 malam (awal pagi Sabtu). Ini menjadikan jumlah yang ditahan untuk membantu siasatan kes itu setakat ini lima orang.

Difahamkan polis telah merampas dua buah telefon bimbit serta lima keping kad SIM daripada wanita berusia 23 tahun yang bekerja sebagai pembantu gerai menjual pakaian.
Siasatan dijangka bertumpu untuk mengenalpasti samada dia merupakan wanita berbaju merah dan berseluar biru yang dirakamkan oleh kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi penemuan mayat Nurin Jazlin di tepi tangga sebuah rumah kedai di Petaling Utama.
Dalam rakaman CCTV yang agak kurang jelas itu kelihatan seorang wanita berada sekitar tempat mayatnya ditemui.
Wanita itu yang ditahan di bazar Ramadan, Nilai, dilaporkan ada membuat beberapa panggilan telefon kepada "Rakan Cop" untuk mengetahui perkembangan dalam tugas polis mengesan kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun yang ketika itu masih hilang.

Sumber polis berkata, siasatan awal menunjukkan wanita berumur 23 tahun itu ada membuat panggilan itu serta menghantar SMS (Khidmat Pesanan Ringkas) kepada Rakan Cop. Dia juga dipercayai menghubungi Jazimin Abdul Jalil, bapa Nurin Jazlin, ketika kanak-kanak itu mula hilang dan memberitahu bahawa Nurin Jazlin berada dalam jagaannya.
Sementara itu keadaan agak kecoh seketika di pekarangan Mahkamah Majistret Petaling Jaya sebelum majistret mengeluarkan perintah tahanan reman selama tujuh hari ke atasnya.

Ini berlaku apabila wanita terbabit yang mulanya kelihatan meronta-ronta ketika jurugambar mengerumuninya tiba-tiba rebah di pintu masuk mahkamah sehingga memaksa polis memapahnya masuk ke dalam mahkamah.
Setakat ini hubungan antara wanita itu dengan empat suspek lelaki yang ditahan sebelumnya masih belum dipastikan.
Polis turut membawa wanita berkenaan ke Hospital Kuala Lumpur kira-kira 3.30 petang untuk diambil darahnya bagi ujian DNA.-29/9/2007

------------------------------ Kes Nurin: Empat lelaki ditahan reman seminggu...

Pengarah Jabatan Siasatan jenayah Bukit Aman Datuk Christopher Wan Soo Kee mengeluarkan satu kenyataan pagi Jumaat memberitahu polis menahan lima orang termasuk seorang wanita berhubung pembunuhan Nurin Jazlin Jazimin. Katanya mereka ditahan dalam satu serbuan di sebuah rumah kedai di Seksyen 7, Shah Alam,Khamis malam hasil maklumat orangramai.

Mereka berumur antara 27 dan 33 tahun. Turut dirampas dalam serbuan itu dua buah kereta dan lima buah telefon bimbit. Sementara itu Bernama melaporkan tangkapan pertama dibuat di Jalan Persiaran Bistari di Seksyen 7, Shah Alam melibatkan satu pasangan, kedua-duanya berumur 33 tahun, yang tinggal di Bukit Kuda, Klang.

Susulan daripada itu, tangkapan ketiga dibuat di sebuah rumah kedai di Jalan Kristal, Seksyen 7, Shah Alam membabitkan seorang lelaki berumur 28 tahun yang berasal dari Wakaf Baharu, Tumpat, Kelantan.
Menurut laporan itu difahamkan suspek itu cuba melawan ketika ditahan dan polis turut merampas sebuah telefon bimbit dan sebuah kereta Proton Iswara daripada lelaki itu. Pemberita yang menunggu di Hospital Kuala Lumpur sempat melihat kelima-lima mereka dibawa polis ke hospital itu pada pukul 9.20 pagi, dipercayai untuk menjalani ujian asid deoksiribonukleik (DNA).
Keempat-empat lelaki yang ditahan itu tiba dengan menaiki sebuah van polis berwarna putih manakala wanita itu dibawa berasingan dengan sebuah kereta polis. Kesemua lelaki memakai baju-T berwarna merah jambu bertulis "Lokap Kuala Lumpur" manakala wanita itu, yang kelihatan mengandung, memakai baju kurung hitam dan bertudung putih serta tangannya tidak bergari.

Mereka kemudian dilihat keluar dari Jabatan Forensik HKL setelah dipercayai selesai menjalani ujian DNA sebelum dibawa oleh polis, dipercayai ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya untuk mendapatkan perintah tahanan reman. Dalam perkembangan berkaitan Mahkamah Majistret Petaling Jaya memerintahkan empat lelaki berkenaan ditahan reman selama seminggu bermula Jumaat.
Polis bagaimanapun membebaskan wanita itu yang merupakan isteri kepada salah seorang suspek. Perintah tahanan reman terhadap keempat-empat lelaki itu dikeluarkan oleh Majistret Nurmala Salim. Dua daripada suspek dibawa ke mahkamah pada 11.30 pagi dengan menaiki van polis manakala dua lagi, yang menaiki van polis yang lain, tiba 20 minit kemudian

Kekecohan kecil berlaku di luar mahkamah apabila seorang daripada empat lelaki yang ditahan itu bertindak kasar menendang seorang jurufoto akhbar ketika sekumpulan jurufoto cuba mengambil gambar dua suspek yang menaiki van kedua sejurus selepas van itu tiba di pekarangan mahkamah. Jurufoto itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Polis juga telah membuat siasatan di rumah salah seorang suspek di Kampong Kuantan,Klang.
Selain dari itu kawasan rumah kedai di Seksyen 7 Shah Alam serta kedua buah kereta. Kesemua tahanan kemudian dibawa ke Bukit Aman. - 28/9/2007
























Tiada ulasan: