MERDEKA!!

MERDEKA!!

Isnin, 24 Jun 2013

Selepas berhimpun, elok berehat. Kaji kelemahan sendiri pula


Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim berkata tidak ada himpunan ‘black 505’ lagi buat sementara waktu ini. Apa yang menyebabkan beliau berkata demikian tidak pula dapat difahami kerana beliau masih lagi belum berjaya meminta Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR  berundur serta meletakkan jawatan mereka.

Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR diminta berundur dan meletakkan jawatan diatas tuduhan pihak pembangkang yang diketuai oleh Anwar, penipuan besar-besaran telah berlaku semasa PRU 13 yang lepas. Ketua Pembangkang ini berkata selepas perasmian konvensyen Pakatan Rakyat semalam.

Semasa himpunan 505 sehari sebelum itu, Anwar berkata yang beliau sependapat dengan pandangan Husam Musa, Naib Presiden PAS yang ada dikalangan Pakatan Rakyat yang sedang menghadapi sindrom kepenatan. Mereka ini, kata Husam itu adalah, UMNO dalam Pakatan Rakyat.

Anwar meminta semua pihak supaya tidak dihinggapi penyakit sindrom kepenatan ini kerana perjuangan untuk meminta SPR meletakkan jawatan belum tercapai lagi. Tetapi kita mesti juga menerima hakikat bahawa rakyat yang ramai ini juga memerlukan masa untuk merehatkan pemikiran mereka. Rakyat ini manusia dan memerlukan rehat dari memikirkan tentang himpunan dan demonstrasi-demonstrasi ini.

Pemimpin-pemimpin yang menganjurkan himpunan ini boleh berehat dengan kemudahan kehidupan mereka bercuti dimana-mana contohnya, tetapi bagi mereka yang diheret untuk berhimpum ramai-ramai tidak mempunyai kemudahan seperti yang ada kepada pimpinan seperti Anwar dan lain-lain itu.

Dalam himpunan 505 di Padang Merbok sabtu lalu, kehadiran sudah banyak berkurangan. Hanya 10 peratus dari jumlah sasaran 300,000 orang itu yang hadir dan setengahnya sudah meninggalkan Padang Merbok pada jam 6 petang lagi. Pihak penganjur telah memberikan alasan jerebu sebagai penyebab utama kenapa kekurangan peserta himpunan itu, tetapi mereka tidak menghadirkan diri kerana banyak sebab-sebab yang lain.

Satu perkara yang kita harus sedar, keupayaan seseorang menerima dan mendengar lagu yang sama berlarutan itu ada hadnya. Mendengar ceramah dan lawak jenaka yang sama oleh mereka yang sama itu sangat membosankan kebanyakkan orang yang pernah menyertai himpunan itu. Mereka tahu apa yang akan mereka dengari sebelum mereka tiba ke tempat himpunan itu kerana semua isi kandungan ucapan yang akan mereka dengar semuanya ‘predictable’.

Lama kelamaannya ramai-ramai yang hadir itu terlalu kenyang dengan ucapan yang sama, kandungan ucapan yang tidak berubah selain dari lawak jenaka dan pertunjukan pentas oleh penceramah-penceramah yang sama. Lauk pauk yang kita suka sendiri pun akan terasa menjemukan jika dihidangkan setiap masa dihadapan kita. Ramai yang bertanya apabila kembali kerumah, “apa yang aku baru dapat pada hari ini?” Apa yang mereka dapati hanyalah keletihan dan salahkan mereka merasakan kepenatan itu?

Mereka kembali bertanya, “Ini saja kah kegiatan sebuah atau sekumpulan parti yang dikatakan parti-parti perjuangan?” Sampai bila hendak berhimpun dan berdemonstrasi itu? Pilihanraya akan diadakan lima tahun lagi dan setakat ini mereka telah berkempen dan berhimpun sudah menjangkau  lima tahun lamanya untuk persediaan PRU ke13 yang lalu.

Bagi orang seperti saya yang tidak pandai dan berpengaruh ini, berpendapat masing-masing parti perlu mengkaji kelemahan masing-masing kenapa Pakatan Rakyat kalah walaupun ‘mood’ semasa itu menampakkan situasi yang tidak memungkinkan BN memenangi mana-mana kerusi di seluruh negara. Mudahlah untuk menyalahkan SPR dan sebagainya tetapi tidak adakah kesalahan kita sendiri?

Bagi pihak yang hendak melakukan pembaharuan yang terpenting dilakukan ialah mengetahui dan memahami apa-apa kelemahan dan kesalahan sendiri dahulu. Takkanlah tuduhan penipuan itu sahaja yang menyebabkan pihak kita kalah dalam PRU itu. Bagi diri saya sedikit sebanyak tahu apa kelemahan yang ada disetiap parti yang menganggotai Pakatan Rakyat itu. Jangan emotional bila mendengar teguran seperti yang saya paparkan ini.

PKR mempunyai masalah budaya yang tidak jauh bezanya dari budaya UMNO yang bermain politik sesama sendiri tanpa had. DAP pula telah saya sebut sebagai parti yang ‘smart’ dengan tuduhan pihak lawan sebagai parti rasis tanpa disedari ramai bahawa rupa dan penampilan parti itu sendiri adalah sebagai sebuah parti yang hanya mewakili kaum Cina sahaja.

Bagi saya PAS mempunyai ciri parti yang baik, tetapi oleh kerana imej baik itu PAS tidak membentuk ‘skill’ pengurusan yang baik sebagai persediaan untuk mentadbir negara diperingkat tertinggi. Parti itu apabila diberikan peluang untuk mentadbir mereka gagal dalam mentadbir negeri yang di perintahnya kecuali Kelantan.

Terengganu pernah dimenangi oleh PAS dengan majoriti 4/5 di Dewan Undangan Negeri Terengganu, tetapi tidak berjaya mengekalkan kuasa di Terengganu semata-mata kerana kegagalan mentadbir negeri itu. Baru-baru ini saya ke Kedah untuk membantu PAS dalam pilihanraya berulang-alik setiap minggu.

Tetapi nyata kerana pentadbiran negeri Kedah dibawah PAS tidak mempunyai ummph yang kuat maka rakyat memulangkan kembali kuasa kepada BN walaupun BN itu merupakan parti yang terlalu banyak isu untuk dipersoalkan. Daripada menyertai himpunan lebih baik PAS memulakan usaha membina kemahiran mentadbir. PAS boleh menghantar pimpinan ke kursus-kursus pentadbiran di mana-mana pusat pengajian tinggi ternama diseluruh dunia bagi persediaan untuk mengambil alih pentadbiran kerajaan kita.

Dari bersusah payah ke Padang Merbok berhimpun, kenapa PAS tidak fokuskan usaha untuk mengilap kemahiran mentadbir negeri dan negara?  Benar, Islam itu tinggi, tetapi jika kita benar-benar memperjuangkan Islam itu, mewujudkan kemahiran pentadbiran itu juga kehendak Islam. Kenapa tidak diberikan tumpuan terhadap isu besar ini. Islam itu selari degan setiap masa dan zaman, maka amat perlu untuk meningkatkan ‘skill’ pentadbiran dengan gigih.

Kalau kita gagal menjadi pentadbir yang baik maka sekali gus kita tidak memenuhi tuntutan agama suci kita itu. Kita mesti akui yang politik itu adalah ‘game of perception’. Kalau kita gagal untuk memberikan persepsi baik maka ia memberi makna kita gagal.

Kita perlu ingat, mengekalkan pengaruh melalui himpunan 505 itu tidak akan mampu mengekalkan sokongan ramai buat jangka masa yang lama. Yang akan mengekalkan sokongan ramai ialah hasil dan kemampuan kita mentadbir. TS Khalid Ibrahim terkenal sebagai seorang yang tidak pandai berpolitik, tetapi hasil kerja tangan dan minda beliau telah mampu untuk hampir melenyapkan BN di negeri Selangor baru-baru ini.

Terima lah teguran dan pandangan secara ilmiah dan terbuka. Jangan kita memberikan reaksi seperti yang kita dengar beberapa hari yang lalu dimana teguran saya itu terbit kerana saya tidak menjadi calon oleh seorang pemimpin besar sebuah parti dalam Pakatan Rakyat sendiri.

Berbalik kepada isu himpunan 505 itu, ia tidak akan membawa sesiapa kemana-mana. Yang boleh memberikan ‘consequence’ ialah memperbaiki parti dan perjuangannya dan jika boleh diluruskan niat dan tujuan pimpinan melakukannya. Lama kelamaan rakyat akan menyedarinya.

Tiada ulasan: