DALAM satu hadis yang
diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah dikatakan bahawa:
"Barang siapa yang mendirikan Lailatul Qadar dengan iman dan ketakwaan,
maka Allah akan menghapuskan semua dosanya yang berlalu."
Mendirikan malam
al-Qadar bermakna mengisi malam itu dengan pelbagai ibadat dan menjauhkannya
daripada semua perbuatan maksiat hingga ia benar-benar menjadi malam yang penuh
kebaikan dan keberkatan. Ada beberapa amalan yang dilakukan oleh Rasulullah saw
dan sahabat pada malam-malam akhir Ramadan untuk mengisi Lailatul Qadar.
Antaranya:
A . Mandi, berpakaian
indah dan berharum-haruman
Diriwayatkan oleh Ibnu
Abi `Asim bahawa Huzaifah pernah mengerjakan qiyam Ramadan bersama Rasulullah
dan melihat bahawa Baginda mandi pada malam itu. Ibnu Jarir pula berkata bahawa
sahabat menyukai mandi pada malam-malam akhir Ramadan.
Demikian pula beberapa
riwayat daripada sahabat seperti Anas bin Malik dan ulama pada masa Tabi'in
menyatakan bahawa mereka akan mandi, memakai baju indah dan berharum-haruman
apabila berada pada akhir Ramadan. Apa yang dilakukan oleh Rasulullah, sahabat
dan Tabi'in ini adalah satu upaya untuk menyambut dan meraikan kedatangan
Lailatul Qadar, sambil berdoa mendapatkan keampunan dan keberkatan malam itu.
b. Melaksanakan solat
sunat, iktikaf dan membaca al-Quran.
Imam Bukhari dan Muslim
meriwayatkan satu hadis daripada Aishah, bermaksud: “Adalah Rasulullah apabila
telah masuk 10 akhir daripada Ramadan, maka Baginda akan menghidupkan malam-malamnya,
membangunkan keluarganya dan mengikat pinggangnya.”
Sahabat dan ulama
berbeza pendapat dalam memberi penafsiran terhadap hadis di atas. Tetapi,
mereka bersepakat bahawa Rasulullah melebihkan ibadatnya pada 10 malam yang
terakhir Ramadan.
Ibadat yang biasa
dilakukan pada malam Ramadan adalah solat Tarawih dan Witir serta membaca
al-Quran. Dalam salah satu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud dari Amru bin
`Ash bermaksud: “Barang siapa yang solat pada malam Ramadan dan membaca 10 ayat
daripada al-Quran maka dia tidaklah dicatat sebagai orang yang lalai.”
Mengerjakan solat dan membaca al-Quran pada pada malam yang akhir ini sangat
penting hingga dalam salah satu riwayat dikatakan bahawa Rasulullah melakukan
solat pada malam Ramadan dan membaca al-Quran dengan tertib.
Baginda tidak akan
melalui ayat rahmat terkecuali berharap agar Allah memberikan rahmat itu dan
tidak melalui ayat azab terkecuali bermohon perlindungan daripada Allah
daripada azab itu.
Solat berjemaah juga
sangat diutamakan pada malam akhir Ramadan hingga Imam Malik dan Imam Syafie
berkata: “Siapa yang solat Isyak dan Subuh berjemaah pada malam al-Qadar, dia
telah mengambil bahagiannya daripada malam itu.” Ertinya orang yang mengerjakan
solat Isyak dan Subuh saja dianggap telah mendapat sebahagian daripada Lailatul
Qadar, apa lagi mereka mengisinya dengan amalan lain sepanjang malam itu.
Selain solat dan
membaca al-Quran, 10 akhir Ramadan ini biasanya diisi oleh Rasul dengan
beriktikaf di masjid dan tidak tidur bersama isteri-isterinya. Ini berdasarkan
hadis Aishah yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, bermaksud:”Bahawa
Rasulullah beriktikaf pada 10 hari akhir sampai Baginda wafat.”
c. Memperbanyak doa.
Rasulullah bersabda doa
adalah otak segala ibadat. Doa juga kunci daripada semua ibadat. Aishah
diperintahkan oleh Rasulullah untuk memperbanyak doa pada 10 malam terakhir
Ramadan. Dalam satu hadis daripada Aishah diriwayatkan at-Tirmizi, Aishah
diajar oleh Rasulullah membaca doa pada malam al-Qadar.
Ulama bersepakat bahawa
doa yang paling utama pada malam al-Qadar adalah doa yang meminta keampunan dan
kemaafan daripada Allah. Perkara ini seperti doa yang diajarkan Rasulullah
kepada Aishah. Doanya berbunyi: “Allahumma innaka afuwun tuhibbul afwa fa' fu
anni (maksudnya, Ya Allah, sesungguhnya Engkaulah Maha Pengampun, yang suka
Maha Mengampun, maka ampunilah aku ini).”
Pada malam itu Allah
akan mengabulkan semua permohonan dan doa, terkecuali terhadap empat golongan
manusia. Ibnu Abbas berkata: “Semua doa pada malam itu diterima terkecuali doa
orang meminum arak, anak yang derhaka kepada ibu bapa, orang yang selalu
bertengkar dan mereka yang memutuskan silaturahim.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan